Tuesday 29 May 2012

Debat pemimpin:Wajar atau tidak?



Jujur saya katakan saya orang yang paling teruja bila mendapat khabar berita Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bakal berdebat dengan penentangnya, Rafizi Ramli, yang jujur juga saya katakan, tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini. Oh, mungkin orang kuat PKR barangkali, maklum sajalah saya bukanlah seorang remaja yang cukup mengikuti perkembangan politik semasa, tidak sama dengan saya ikuti siapa yang menang program realiti Mentor dan perkara sealiran dengannya. Menambah keterujaan, mereka memilih sebuah dewan di Seksyen 7 Shah Alam (Saya kurang pasti di mana tempat sebenarnya), tidak jauh rupanya gelanggang pertempuran idea itu dengan rumah sewaan saya dan rakan-rakan. Saya dan beberapa rakan telah sepakat untuk ke sana, mendengar dengan kepala telinga sendiri, dua tokoh ini membentang idea, membelasah pihak lawan dengan unjuran ilham yang telah difikiri dan mencerna luahan pendapat 
mereka, menimbangtara, siapa yang lagi ‘menang’ hujah mereka.
Malang sekali bagi saya dan rakan-rakan bilamana debat yang dirancang ditangguhkan sehingga diberitahu, dek arahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang masih merasakan debat berkenaan masih terlalu awal lebih- lebih lagi dengan isu Perhimpunan Bersih 4.0 masih lagi panas diputarkan dan dicanang di media massa. Hancur jugalah harapan saya untuk melihat Saudara KJ berdebat apabila membaca satu ‘tweet’ rasmi miliknya mengenai penangguhan debat itu. Apa boleh buat, manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan, bukan?
Beberapa minggu ditangguhkan, maka tangga 22 Mei 2012 lalu berlangsunglah acara debat berkenaan, ya, saya kecewa lagi, bukan apa, kerana ianya bukanlah bertempat di Seksyen 7 berdekatan dengan lokasi asal, tetapi di Pejabat Karangkraf Shah Alam kerana akhbar keluaran syarikat penerbitan itu, Sinar Harian berhasrat menjadi penaja, begitu juga dengan agensi berita BERNAMA. Syukur jugalah ada ‘live streaming’ acara debat itu yang boleh ditonton menerusi www.mobtv.com seluruh dunia.
Apa yang ingin dikupas di sini bukanlah isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) wajar dimansuhkan atau tidak, atau isu pendidikan percuma yang dicanang-canangkan pihak pembangkang mahu diberi kepada seisi warganegara. Akan tetapi wajarkah debat sebegitu diteruskan pada masa-masa akan datang? Relevankah penganjuran debat sebegini kepada rakyat amnya?
Jika diaju pertanyaan serupa kepada saya, jawabnya YA bagi saya. Debat sebegini wajar dianjurkan di lain masa, kerana di sini kita rakyat biasa boleh melihat kewibawaan pemimpin kita berhujah menangkis serangan pihak lawan masing-masing, mengutarakan buah fikiran dan intelektualiti, seterusnya mempamerkan kewajaran sesuatu tindakan dibuat. Jika dibiar sahaja, contohnya dalam isu ini, hutang PTPTN, sampai bila-bila pun isu ini tidak akan berkesudahan. Masing-masing bebas berbalas kenyataan di akhbar dan berita. Si A kata begini, B pula kata begitu. Hasilnya, tiada, hampas tiada apa.
Dengan debat sebegini, dua pihak atau lebih yang ‘bertelagah’ boleh bersua muka, seterusnya menyatakan apa yang tersimpan dihati, ketidakpuasan hati dan kecelaruan fakta dapat disampaikan secara terus tanpa ada medium yang menghubungkan.
Inilah baru kita katakan ‘anak jantan’, berani cakap, berani tanggung. Selalu juga pihak media disalahkan, katanya memutarbelitkan kenyataan hingga dua pihak yang tidak bergaduh mula berprasangka dan bermasam muka. Tapi dengan debat sebegini, nah, ambil lah saja kata yang dilempar oleh pihak lawan, pastinya bulat-bulat datang dari kotak artikulasi mereka sendiri dan bukan direka-reka pihak media seperti ‘sebelum ini’.
Apabila kedua-dua pihak yang bercanggah pendapat bercakap dalam satu majlis yang sama, barulah kita berupaya membuat timbangtara atau ‘check-and-balance’ yang mana satu lebih baik faktanya, yang mana lagi lemah isi pendapatnya. Dari situlah kita akan hadirkan satu kepercayaan terhadap rakyat mengenai isu yang diperjuangkan. Jika sebelum ini hanya akhbar dan rancangan berita yang ditonton, mungkin kita masih boleh mempertikaikan akan ‘fairplay’ atau keadilan media yang menghidangkan juadah berita kepada khalayak pembaca dan penonton, akan tetapi dengan debat sebegini, seadilnya kenyataan itu dapat ditafsir.
Khalayak dapat mendengar sesuatu hujah dan fakta dalam satu majlis yang sama, seterusnya perbandingan terus dapat dicerna dan sama-sama direnungkan. Cuba kalau di akhbar, boleh saja editor menyiarkan kenyataan seorang pemimpin hari ini, dan pihak lawannya keesokan hari, jeda yang ada sehari itu boleh mempengaruhi pemikiran dan keputusan khalayak pembaca. Makanya, kuranglah keadilan di situ.
Polemik yang tidak berkesudahan juga akan mengambil tempat di dada-dada akhbar apabila satu isu muncul, begitu begini percanggahan pendapat berlaku, masing-masing tidak mahu kalah ataupun sama sekali mengalah. Terkadang keduanya dirasakan betul tiada cela, pandai sungguh mereka bermain kata, sangat meyakinkan. Soalnya di sini, siapa yang menjadi mangsa? Tak lain dan tak bukan, golongan rakyat marhaen lah yang duduk terlopong terpinga mendengar hujah  dan ajaib kata sang pemimpin yang bertelagah. Bagai lalang, sekali mereka menyokong si A, kemudiannya si B membuat kenyataan akhbar blablabla…, beralih pula sokongan kepada si B. nasib baiklah dengannya adanya debat sebegini, rakyat boleh bersemuka secara langsung atau tidak (yang pergi ke gelanggang debat atau menonton melalui TV atau komputer) membuat penilaian kendiri tanpa dipengaruhi mana-mana media atau dimanipulasi sesiapa jua.
Dalam ketidaksabaran kita menunggu pengumuman pembubaran Parlimen yang seterusnya menandakan Pilihanraya ke-13 (PRU13), acara debat sebegini amat membantu seandainya dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh kedua-dua belah pihak, kerajaan mahupun pembangkang. Saluran yang disediakan ini boleh memancing undi, itupun bergantung kepada kebijaksanaan wakil pendebat mengulas dan mengupas setiap inci dan pelusuk idea agar senang difahami serta diterima dan cukup memberi kepercayaan kepada mereka untuk memangkah parti politik masing-masing.