Monday 9 July 2012

Haram,haram, haramkan semua.Senang.


Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali

Tengah malam nanti
Tolong jangan lupa
Jangan munkir janji
Aku dah teruja
Sudah cukup lama
Aku tunggu saat ini
Sejak kali terakhir kau hantar pulang
Hidup sungguh sepi
Tolong jangan bilang mama
Tolong jangan bilang papa
Malah jangan bilang teman karibmu
Jangan bilang sesiapa

Oh buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh,ayuh

Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali

Mata dalam kaca, topi berceloreng
Sarung tangan hitam, atas muka ada topeng
Hanya perlu siul, tidak muka ada topeng
Hero sudah sampai, cepat terjun dari loteng
Kita terus ke sempadan aku pacu, engkau bonceng
Bawa bekal air muka cuci aib bopeng
Lari dari kewajipan, tanggungjawab ponteng
Lari dari kenyataan, mula kisah dongeng

Tinggalkan dataran, puncak dunia kita duga
Tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
Lari lari baling bola salji depan gua
Sambil cari yeti kita boleh cari (what?)
Tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
Lari lari baling bola salji depan gua
Tidak jumpa yeti moga-moga jumpa syurga

Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali

Bila kita pergi
Apakan berlaku
Siapakan peduli
Siapa ambil tahu
Hidup kita tempuh
Untuk apa saja
Tidak kira mana kembara membawa
Kita kan bersama

Oh buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh,ayuh

Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali



Pernah dengar lagu ini? Bait-bait rangkap,patah perkataan yang digubah indah penuh pengertian ini ditulis Malique iaitu bekas ahli kumpulan duo hip hop masyhur Too Phat. Ringkasnya seni kata lagu ini membuatkannya mudah diterima khalayak pendengar ditokok pula dengan melodi lincah atau ‘catchy’ menjulang lagu ini di tangga carta stesen radio tempatan. Saya secara peribadi amat gemar lagu Bawaku Pergi ini. Sungguh sedap di pendengaran. Kena dengan selera anak muda. Tidak terlalu berat mahupun kliche dengan kata-kata ‘cinta’ , ‘aku sayang padamu’ dan pelbagai ayat-ayat biasa lain yang sudah basi didengar. Malique menulis dengan jiwa yang sendiri, suku katanya berirama, diksinya ringkas tapi dalam maknanya, erti kata lebih mudah, dia penulis lirik yang berasa di kelasnya tersendiri.
                Akhbar Utusan Malaysia melaporkan rungutan Presiden Majlis Pemuafakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan yang meminta lagu tersebut diharamkan kerana membawa unsur negatif serta boleh mendorong remaja lari dari rumah.Dalam satu artikel dalam laman sesawang hiburan, gua.com.my, penyanyi lagu ini, Zizan Razak telah mengesahkan pengharaman lagu ini daripada disiarkan di radio-radio dan stesen televisyen tempatan. Cuba kita perhalusi langkah yang diambil oleh pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, wajarkah lagu nyanyian penyanyi baru Kaka dan Zizan ini diharamkan penyiarannya? Di mana rasional atau signifikannya kepada rakyat Malaysia? Teruk benarkah impaknya jika lagu ini dibiarkan bersiaran?
                Malique sebagai tuan punya lagu dalam kenyataan medianya berasa amat kesal dengan tindakan  yang ‘membuatkan orang sekeliling ketawa dengan tindak-tanduk budak-budak yang hanya merosakkan imej’ itu. Tambahnya lagi, lagu itu tiada pernah berniat untuk menyeru anak-anak remaja lari dari rumah, yang bagaikan bermusim kala ini. Ada-ada saja anak gadis yang hilang melarikan diri dilaporkan menerusi media.  Katanya, lagu berkenaan dicipta khas untuk isterinya, tentang impian mereka untuk bercuti bersama-sama.

"Sang isteri berangan-angan mahu bercuti ke Tibet atau Nepal sebagai tempat berbulan madu. Kerana itulah datangnya ayat, 'puncak dunia kita duga'. Setiap orang yang mempunyai asas geografi, akan tahu yang puncak dunia adalah di Himalaya.

"Di situ jugalah wujudnya haiwan mitos Yeti yang dikatakan mendiami tanah tinggi di situ. Mengapa semua 'pentafsir profesional' gagal untuk mengulas tentang bait tersebut? Saya selalu mengidam untuk pergi ke Indochina melalui jalan darat, 'pergi lebih lama, pergi lebih jauh'.

"Saya tiada masa untuk meletakkan diri saya dalam fikiran seorang remaja kerana zaman itu telah lama saya tinggalkan. Saya menulis sebagai seorang dewasa dan jika ada pihak kurang matang yang mendengar lagu saya dan bertindak bodoh, itu bukan hal saya.” Katanya.
Pada pandangan saya sendiri,ada;ah tidak wajar kita seolah menyekat hak pengkarya seni seperti Malique untuk mengukir hasil seni melalui tinta dan irama lagu, khusus untuk hiburan penggemar seni. Tulislah apa saja, gubahlah pelbagai lagu, asal tidal lari atau terpesong dari sisi syarak dan budaya Melayu sudahlah. Mengapa kita terlalu negative dalam hal ini? Kerana lagu berkenaan lagu Melayu? Jadi maksudnya mudah kita fahami tanpa sebarang masalah? Bagaimana pula dengan lagu yang artis Barat yang jelas berkiblatkan budaya hiburan melampaui batas, juga seks bebas, malahan mampu merosak akidah. Biar kita ambil contoh, lagu
‘What You Waiting For’- Mizz Nina
“Baby, I never seen someone with your body
You make me want get this party started
Hey baby, come in tell me what this all, baby, baby
Tell me what you what you waiting for”
‘5 O’clock’ – T-Pain
 You ain't got to remind me
She already said if I don't come home on time
She might go crazy
And she'll be waiting on me naked
With one of my chains on
She might come and find me
Agaknya kerana dua lagu di atas asalah lagu Inggeris, maka terlepaslah mereka dari diharamkan kerajaan.walhal sudah terang-terangan kedua-dua lagi ‘mempromosikan’ atau ‘mengajak’ pendengarnya melakukan hubungan seks di kala kebosanan pada pukul lima pagi atau di dalam kelab hiburan setelah kagum dengan tubuh badan masing-masing. Tidakkah kementerian berkenaan merasakan pengharaman lagu tersebut hakikatnya tiada impak yang sebenar-benarnya. Boleh sahaja pendengar membuk laman sesawang perkongsian video Youtube untuk ‘terpengaruh’ dengan lirik lagu dan mengambil keputusan melarikan diri setelah 4:23 saat mendengar lagu itu.
Sememangnya agak lucu tindakan ini diambi, tapi tak apalah, siapalah kita untuk menidakkan apa yang ditetapkan orang ‘besar’ di atas sana.

Sunday 8 July 2012

Kalaulah Hang Tuah masih ada...


Sumpah Hang Tuah ‘Takkan Melayu hilang di  dunia’ selalu kita dengar dan baca di mana-mana. Namun sedarkah kita satu entiti yang menjadi dalil keMelayuan, bahasanya, sedikit demi sedikit, hari demi hari makin terkikis dan terhakis jiwa dan keindahan rohnya? Kesucian dan maruah bahasa ini dengan mudahnya dilacurkan dan dijual sesetengah pihak, kebanyakannya penutur jatinya sendiri. Apa nak jadi dan apa dah jadi sebenarnya?
            Tidak perlu kita pergi jauh untuk membuktikan betapa parahnya hal ini membarah, lihat sahaja bagaimana pak menteri kita berinteraksi dengan pemberita tatkala diajukan sesuatu isu dalam laporan berita di kaca televisyen setiap hari. Ramai yang lebih selesa bercakap ‘orang putih’, kalau ada pun yang berbahasa kebangsaan, pasti ada-ada saja terselit ayat atau frasa Inggeris yang digunakan. Barangkali bagi mereka, Bahasa Inggeris atau bahasa rojak Melayu-Inggeris lagi sedap pada pendengaran, lagi intelek bunyi, barulah dinamakan menteri!
            Susahnya untuk kita sebagai bangsa Melayu sendiri untuk meyakinkan diri bahawa bahasa kita juga mampu pergi lebih jauh, dibawa ke tengah, diantarabangsakan, dan tidak dipandang pelik jika dituturkan dalam persidangan dunia sekalipun. Di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, bahasa apa yang menjadi bahasa pengantaraan atau lingua franca sesama pedagang serta orang tempatan kalau bukan Bahasa Melayu?
Iya, hakikatnya kita tidak boleh terlalu nostalgik, hidup dalam kenangan dan sejarah tanpa perlu mengorak langkah ke depan, tapi dengan sejarah juga kita boleh belajar tentang apa yang betul, apa yang khilaf, jadi tidaklah yang salah kita ulangi, bukan? Bayangkan pedagang yang jauh berlayar dari India, China, Tanah Arab dan pelbagai negara lagi ‘terpaksa’ akur kepada kekuasaan bahasa ini apabila mereka harus belajar dan memahaminya untuk berurusniaga di pelabuhan negeri pemerintahan Parameswara itu. Betapa hebatnya kita suatu masa dahulu.

Kebanggaan berbahasa Melayu berkait rapat dengan jatidiri bangsa yang dipegang sejak lahir dari rahim si ibu. Bangga bercakap Melayu bermakna bangga dilahirkan sebagai Melayu. Apa pula maknanya apabila percakapan menggunakan bahasa Melayu rojak, yang rosak? Bahasa yang rosak mencerminkan bangsa yang rosak, kata Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Univesiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr. Musa Abu Hassan. Dalam erti kata lain, identiti sesebuah bangsa itu dapat kita kenali dengan penggunaan bahasa yang dituturkan seharian.
Maruah Bahasa Melayu yang telah sedia maklum termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan harus kita semua, sebagai rakyat Malaysia, jaga dan lindungi, bak melindungi gadis sunti dari dinodai jantan jongos bernafsu buas, kerana apa, kerana nilai maruah dan kesucian tidak boleh dijualbeli di pasar raya. Begitulah anekdotnya dengan maruah Bahasa Melayu, harus sama-sama kita dokong dan lindungi tiap masa agar tidak sewenangnya diratah kemodenan dan urbanisasi.

Penggunaan bahasa yang betul haruslah dipraktikkan ke akar umbi, di mana sahaja untuk menunjukkan seriusnya kita memperkasa dan menjunjung bahasa sendiri. Masih ingat lagi sebuah stesen radio swasta yang akhirnya akur dengan teguran pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengubah perkataan ‘daripada’ bukan ‘dari’ dalam slogan mereka. Memang, bunyinya sedikit panjang dan ‘kurang sedap’ didengar, tapi aspek itu masih boleh dikompromi, bukan jenayah tatabahasa!
Bukan itu sahaja, lapan tahun terdahulu, akhbar-akhbar seluruh negara heboh dengan pengharaman lagu ‘Seksis’, ‘Diva’ (Anita Sarawak), ‘Babe’ (KRU), ‘Tipah Tertipu’ (Ruffedge) serta ‘Alhamdulillah’ oleh Too Phat. Memetik laporan The Star pada 17 April 2004, lagu-lagu berkenaan diharamkan penyiarannya di stesen-stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) lantaran arahan Kementerian Penerangan yang menghalang lagu Melayu dengan lirik bercampur Bahasa Inggeris.
Lagu ‘Diva’ dendangan diva handalan Anita Sarawak yang ditulis Norman KRU dikesan menggunakan  frasa terjemahan tidak tepat bagi ‘standing ovation’ kepada ‘ovasi berdiri’ manakala bagi lagu Seksis pula ‘cheap woman’ diterjemahkan secara harfiah kepada ‘perempuan murah’ dalam lirik lagu itu.
Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Zainuddin Maidin berkata terjemahan yang tepat adalah penghormatan berdiri (standing ovation) dan perempuan murahan (cheap woman). Zainuddin berkata pihak kementerian mengambil langkah berkenaan berdasarkan panduan DBP yang mengharamkan lagu dengan terjemahan tidak tepat serta bahasa tidak senonoh daripada disiarkan kepada khalayak.
Masih ingat lagikah tentang sebuah laman sesawang kementerian yang menggunakan ayat ‘clothes that poke eye’ untuk menterjemahkan ‘pakaian mencolok mata’ baru-baru ini? Sungguh kelakar sekali bunyinya. Nasib baiklah kesilapan itu akhirnya disedari, ada pihak yang prihatin yang melaporkan akan ‘ralat’ yang berlaku. Bagaimana pula dengan hal itu, tidak pula dipastikan sama ada polis bahasa DBP mengambil sebarang tindakan atau setidak-tidaknya memantau isi kandungan laman sesawang kementerian itu. Harapnya mereka tidak seratus-peratus bergantung harap kepada terjemahan Google Translate untuk mengemaskini maklumat di hujung maya selepas ini.
Betullah ucap ahli falsafah George Santayana, sesiapa yang tidak belajar sejarah, akan cenderung mengulanginya. Kalaulah bapa sejarawan itu masih hidup di zaman ini, pasti berdekah-dekah gelaknya melihat telatah sesetengah kita yang degil tidak ‘mendengar katanya’. Lapan tahun lepas, beberapa lagu diharamkan penyiaran dek ‘lesen kreatif’ karyawan yang seenak rasa menggaul kata Bahasa Melayu-Inggeris tanpa memikirkan tanggungjawab memelihara bahasa sendiri.
Kini, 2012, muncul pula lagu baru ‘Jangan Ganggu Pacarku’ nyanyian penyanyi kacak seberang tambak Alif Aziz menjengah senario muzik tempatan. Tidak dapat dipastikan pula sama ada larangan DBP hanya terhad kepada penyanyi atau lagu negara ini sahaja kerana lagu ini juga tidak kurang ‘hebat’ berbuat dosa kepada bahasa kebangsaan kita. Pada saya penulis lirik lagu ini melacurkan dan merosakkan kedua-dua bahasa, Bahasa Melayu juga Bahasa Inggeris.
Jom kita dengar lagu jejaka kacak dari seberang tambak itu:

Ini kerana  empat perkataan Inggeris digunakan, ‘liking-liking’, ‘flirting-flirting’, ‘tagging-tagging’ serta ‘poking-poking’! Aduh, sudahlah merojakkan bahasa, boleh pula menggandakan perkataan Inggeris berkenaan atas lesen kreatif yang diberikan untuk berkarya! Mungkin pihak DBP terlepas pandang hal ini, atau mungkinkah mereka sudah muak dengan pelbagai jenayah bahasa yang dilaporkan atau tidak, kerapkali berlaku, di mana sahaja.
Pada saya, jika lagu ‘Seksis’, ‘Diva’, ‘Tipah Tertipu’, dan ‘Alhamdulillah’ diharamkan dari disiarkan di stesen RTM, adalah wajib juga ‘Jangan Ganggu Pacarku’ ini menanggung nasib serupa. Barulah DBP berlaku adil kepada penulis lirik sebelum ini. Sikap hangat-hangat tahi ayam diharapkan tidak berlaku kepada Kementerian Penerangan dan DBP demi menjaga kepentingan dan survival Bahasa Melayu juga mengelakkan dua institusi ini dilabel sesetengah pihak sebagai ‘double-standard’ .
Jiran tanah seberang, Indonesia dalam hal ini harus kita teladani, lihat sahaja rakyatnya,semuanya fasih berbahasa Indonesia, malahan berbangga lagi dengan bahasa itu. Tidak kiralah, apa bangsa sekalipun, mereka menuturkan bahasa yang sama, menjadi metafora penyatuan jiwa dalam diam. Kita? Kita, dalam kelantangan bersorak slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, masih banyak lintang-pukang bahasa diucap, lintang-pukang jugakah jiwa kita?



Lynas ‘mengganas’ di media !

Lynas ‘mengganas’ di  media !
Tidak semena-mena isu Lynas meniti di bibir-bibir seluruh kedai kopi,kafe pejabat, kantin, restoran, topic hangat dalam kalangan blogger tegar atau suam-suam kuku, tersebar melalui rangkaian sosial Facebook,  menjadi trend topic di twitter, di mana sahaja, Lynas disebut sebut. Lynas? Apa itu?
Sedikit penyelidikan (Mungkin istilah ini terlalu ilmiah nadanya) atau pun apa yang kita panggil pemerhatian melalui pembacaan akhbar harian dan melalui carian di  enjin gelintar Google, bercampur baur bagai rojak sebennarnya persepsi masyarakat kita tentang hal ini. Ini akan kita ulas rinci ke rinci sebentar lagi.
Tak kenal maka tak cinta. Sebelum panjang lebar kita berhujah berbicara, mari kita berkenalan dengan Lynas (disebut lai nas). Lynas Malaysia Sendirian Berhad merupakan sebuah syarikat yang beribu pejabat di Australia yang bertanggungjawab memproses satu bahan kimia yang dinamakan nadir bumi (atau juga disebut rare earth). Apa pula nadir bumi itu?
Nadir bumi atau rare earth adalah logam yang diklasifikasikan sebagai strategik. China kini hampir mencapai monopoli penuh terhadap nadir bumi di peringkat global. Sekarang ini, negara China membekalkan sehingga 97% permintaan dunia untuk nadir bumi yang diproses untuk kegunaan industri.  Dengan menggunakan nadir bumi inilah impian kita untuk memiliki gajet teknologi canggih, ringan dan efisien seperti komponen-komponen telefon bimbit, tablet iPad serta laptop terlaksana.
Di negara ini, Lynas akan mendirikan kilangnya di Gebeng,Pahang terletak secara relatifnya lima minit di utara Kuantan. Menurut Lynas menerusi laman sesawangnya, www.lynasandmalaysia.com, Gebeng dipilih kerana beberapa sebab yang tertentu. Antaranya  adalah kerana tempat itu telah direka sebagai sebuah kawasan perindustrian dengan akses yang lengkap terhadap  kemudahan pelabuhan,bahan kimia bergred tinggi serta tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman.
Kilang yang dibina nanti dicanang yang terbesar di dunia dan merupakan salah satu daripada dua kilang yang yang dibangunkan untuk menumbangkan monopoli penuh China terhadap nadir bumi. Sebuah lagi kilang yang sama dibangunkan di gurun California berhampiran Death Valley. Faedah terbesar China selain mengeksport bahan berkenaan, ialah membawa masuk syarikat-syarikat besar dunia untuk melabur berhampiran dengan lombong bahan berkenaan di negara itu.
Walaubagaimanapun,  tidak semudah itu untuk kita mendapat durian runtuh yang dianggarkan mampu memberi pulangan RM 8 billion setahun yang meningkat dari tahun ke tahun. Pihak pembangkang telah menyuarakan kebimbangan mereka akan keselamatan kiang ini terhada[ masyarakat sekitar Gebeng khususnya serta , Malaysia amnya. Ini memang berasas kerana mengikut sejarah:
1.       Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.
2.       Kesan toksik dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap langkah pemprosesan nadir bumi yang bermula dari perlombongan bijih ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan bijih, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.
3.       Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan pemprosesan nadir bumi berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.
Bukankah semua insiden yang diterangkan di atas terlalu ‘mahal’ harganya jika dibandingkan dengan keuntungan yang RM 8 billion setahun itu. Apa guna duit berkepuk andai anak-anak kita terpaksa menanggung natijah angkara buasnya nafsu kita terhasap wang ringgit. Percuma sahaja mereka dilahirkan cacat anggota badan, tubuh kerdil mereka dihuni bahan radioaktif yang menyeksa diri mereka dari menjalani hidup riang seperti anak-anak yang lain? Sanggupkah kita melihat derita mereka kononnya untuk kepentingan ekonomi kita sendiri?
Itu tidak termasuk lagi dengan ‘keuntungan’ kita yang terlali bermurah hati memberi pengecualian cukai bukan setahun dua kan tetapi melewati satu dekad, atau lenih tepat 12 tahun! Pemurahnya hati kita! Budiman benar hati nurani kerajaan melayani syarikat asing yang dating bertandang ke bumi bertuah ini.
Carian saya turut dibuat di laman perkongsian video popular , Youtube, dan para pembaca boleh sama-sam menilai sendiri apa yang sebenarnya yang berlaku. Tonton dan nilai dari isu ini dari kaca mata sendiri,saya selitkan video ini dari perspektif rakyat Australia itu sendiri. Boleh anda tonton video itu di pautan ini 
Memang baik katanya Lynas ini dibuka di Malaysia,tapi terimbas pula kata-kata emak saudara penulis di kampong (Maafkan saya jika jijik benar bunyinya) “Orang, kalau berak tepi jalan, siapa nak mengaku?”

Sebab nak sedap yang sekejap...



                Dari mana datangnya lintah, dari sawah turun ke kali, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati. Begitulah hebatnya penangan cinta. Bila mata bertemu mata, hati mula berkata, hanyalah kau yang ku suka, tidur malam rasa tak lena, makan minum tak tentu hala, SMS dihantar tak tentu masa, saying-sayang di bibir sentiasa, bila syaitan mula berkuasa, hilanglah teruna, tiadalah dara. Kerana cinta si gadis sanggup hilang mahkota kegadisan yang selama ini dipertahan untuk yang halal baginya, cukup masa membesarlah perut tanda berbadan dua. Cuak dengan perubahan diri yang tak semena, bayi dibuang tanpa banyak cerita.
                Kita bakal menyandang gelaran negara maju tidak sampai satu dekad lagi, 2020, dimana kemajuan kita tiada tolok bandingnya dengan negara maju lain seperti Amerika, Jerman, Jepun mahupun  Australia. Namun masalahnya sekarang di kala kesibukan kita mencari kecanggihan teknologi untuk mencapai taraf negara maju, tanpa kita sedari kita tergadai banyak nilai yang sepatutnya kita sama-sama dokongi bersama.  

                Semalam (9 April 2012) laporan akhbar melaporkan seorang bayi cukup sifatnya ditinggalkan dibungkus dalam satu plastik hitam diletakkan di sebuah gerai makan di Kuala Terengganu. Pengusaha gerai makan yang menyangka bungkusan itu adalah satu perbuatan sihir tergamam apabila dikuis menggunakan kayu, terkeluar satu kaki kecil manusia.
                Sampai bila harus kita berdepan dengan masalah sosial sebegini? Adakah kita kembali mengundur masa ke zaman jahiliah kira-kira 1400 tahun dahulu? Bila bayi dibunuh  sesuka hati tanpa memberi peluang mereka mengenal hidup. Kenapa mesti makhluk tidak kecil tidak berdosa itu harus menanggung akibat lantaran keterlanjuran ibu bapa mereka? Di mana hak merek untuk menghirup udara segar dunia ciptaan Ilahi ini?
                Biar kita ambil contoh, kerajaan negeri Melaka telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Harapan untuk menempatkan pelajar perempuan yang mengandung luar nikah bagi meneruskan pengajian mereka seterusnya mengambil peperiksaan penting seperti  Penilaian Menengah Rendah (PMR )juga Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM). Mereka dijaga oleh seorang penyelia disamping tiga orang pengajar dan dibawah  pentadbiran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertempat di bekas pejabat  Syarikat Air Melaka (SAM).
           
                Adakah dengan penubuhan sekola sebegini masalah sosial yang kian membarah ini mampu diatasi?  Bukankah sekolah sebegini akan menggalakkan anak gadis kita diluar sana makin galak langkahnya kerana sudah tahu ‘arah tuju’ andai kata sesuatu diluar jangkaan berlaku? Kenapa kita mesti membiarkan mereka merasa selamat untuk bebuat onar sedangkan adalah haram untuk mereka bergaul bebas lelaki perempuan tanpa ada batas yang sah?
                Bagi saya, ibu bapa harus menjalankan peranan mereka sebaik mungkin, memberi didikan agama yang cukup agar masalah ini terbendung di masa hadapan. Tidak ada satu agama pun di dunia ini yang menghalalkan seks sebelum nikah. Jadi penerapan nilai-nilai agama yang bersepadu sejak kecil mampu menjadi perintang yang ampuh untuk masalah ini. Gelora nafsu yang membuak juga mampu ditenangkan bila ilmu agama cukup di dada. Tak mungkin mereka sanggup  mencalit arang ke muka orang tua sekiranya pendekatan agama yang sempurna disemai sejak kecil. Kerana anak-anak umpama selembar kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Cantik coraknya, maka indahlah kainnya.

                
Kesedaran juga harus dating dari remaja itu sendiri agar masalah ini dapat sepnuhnya dibanteras. Bagaimana? Benteng iman yang kuat mampu membuat mereka berkata tidak kepada anasir-anasir tidak sihat yang ada-ada saja dating menggoda. Kesedaran dari dalam diri akan buruknya akibat zina, dosa yang ditanggung serta impaknya kepada institusi keluarga dan masyarakat mesti ditanam di fikiran sentiasa, agar tidak sekali0-kali terdetik hati mereka untuk mencuba ‘aksi yang terlarang’ ini.
                Tidak dapat tidak anggota masyarakat juga harus menyinsing lengan berganding bahu merungkai permasalahan ini bersama.

Tuesday 29 May 2012

Debat pemimpin:Wajar atau tidak?



Jujur saya katakan saya orang yang paling teruja bila mendapat khabar berita Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bakal berdebat dengan penentangnya, Rafizi Ramli, yang jujur juga saya katakan, tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini. Oh, mungkin orang kuat PKR barangkali, maklum sajalah saya bukanlah seorang remaja yang cukup mengikuti perkembangan politik semasa, tidak sama dengan saya ikuti siapa yang menang program realiti Mentor dan perkara sealiran dengannya. Menambah keterujaan, mereka memilih sebuah dewan di Seksyen 7 Shah Alam (Saya kurang pasti di mana tempat sebenarnya), tidak jauh rupanya gelanggang pertempuran idea itu dengan rumah sewaan saya dan rakan-rakan. Saya dan beberapa rakan telah sepakat untuk ke sana, mendengar dengan kepala telinga sendiri, dua tokoh ini membentang idea, membelasah pihak lawan dengan unjuran ilham yang telah difikiri dan mencerna luahan pendapat 
mereka, menimbangtara, siapa yang lagi ‘menang’ hujah mereka.
Malang sekali bagi saya dan rakan-rakan bilamana debat yang dirancang ditangguhkan sehingga diberitahu, dek arahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang masih merasakan debat berkenaan masih terlalu awal lebih- lebih lagi dengan isu Perhimpunan Bersih 4.0 masih lagi panas diputarkan dan dicanang di media massa. Hancur jugalah harapan saya untuk melihat Saudara KJ berdebat apabila membaca satu ‘tweet’ rasmi miliknya mengenai penangguhan debat itu. Apa boleh buat, manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan, bukan?
Beberapa minggu ditangguhkan, maka tangga 22 Mei 2012 lalu berlangsunglah acara debat berkenaan, ya, saya kecewa lagi, bukan apa, kerana ianya bukanlah bertempat di Seksyen 7 berdekatan dengan lokasi asal, tetapi di Pejabat Karangkraf Shah Alam kerana akhbar keluaran syarikat penerbitan itu, Sinar Harian berhasrat menjadi penaja, begitu juga dengan agensi berita BERNAMA. Syukur jugalah ada ‘live streaming’ acara debat itu yang boleh ditonton menerusi www.mobtv.com seluruh dunia.
Apa yang ingin dikupas di sini bukanlah isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) wajar dimansuhkan atau tidak, atau isu pendidikan percuma yang dicanang-canangkan pihak pembangkang mahu diberi kepada seisi warganegara. Akan tetapi wajarkah debat sebegitu diteruskan pada masa-masa akan datang? Relevankah penganjuran debat sebegini kepada rakyat amnya?
Jika diaju pertanyaan serupa kepada saya, jawabnya YA bagi saya. Debat sebegini wajar dianjurkan di lain masa, kerana di sini kita rakyat biasa boleh melihat kewibawaan pemimpin kita berhujah menangkis serangan pihak lawan masing-masing, mengutarakan buah fikiran dan intelektualiti, seterusnya mempamerkan kewajaran sesuatu tindakan dibuat. Jika dibiar sahaja, contohnya dalam isu ini, hutang PTPTN, sampai bila-bila pun isu ini tidak akan berkesudahan. Masing-masing bebas berbalas kenyataan di akhbar dan berita. Si A kata begini, B pula kata begitu. Hasilnya, tiada, hampas tiada apa.
Dengan debat sebegini, dua pihak atau lebih yang ‘bertelagah’ boleh bersua muka, seterusnya menyatakan apa yang tersimpan dihati, ketidakpuasan hati dan kecelaruan fakta dapat disampaikan secara terus tanpa ada medium yang menghubungkan.
Inilah baru kita katakan ‘anak jantan’, berani cakap, berani tanggung. Selalu juga pihak media disalahkan, katanya memutarbelitkan kenyataan hingga dua pihak yang tidak bergaduh mula berprasangka dan bermasam muka. Tapi dengan debat sebegini, nah, ambil lah saja kata yang dilempar oleh pihak lawan, pastinya bulat-bulat datang dari kotak artikulasi mereka sendiri dan bukan direka-reka pihak media seperti ‘sebelum ini’.
Apabila kedua-dua pihak yang bercanggah pendapat bercakap dalam satu majlis yang sama, barulah kita berupaya membuat timbangtara atau ‘check-and-balance’ yang mana satu lebih baik faktanya, yang mana lagi lemah isi pendapatnya. Dari situlah kita akan hadirkan satu kepercayaan terhadap rakyat mengenai isu yang diperjuangkan. Jika sebelum ini hanya akhbar dan rancangan berita yang ditonton, mungkin kita masih boleh mempertikaikan akan ‘fairplay’ atau keadilan media yang menghidangkan juadah berita kepada khalayak pembaca dan penonton, akan tetapi dengan debat sebegini, seadilnya kenyataan itu dapat ditafsir.
Khalayak dapat mendengar sesuatu hujah dan fakta dalam satu majlis yang sama, seterusnya perbandingan terus dapat dicerna dan sama-sama direnungkan. Cuba kalau di akhbar, boleh saja editor menyiarkan kenyataan seorang pemimpin hari ini, dan pihak lawannya keesokan hari, jeda yang ada sehari itu boleh mempengaruhi pemikiran dan keputusan khalayak pembaca. Makanya, kuranglah keadilan di situ.
Polemik yang tidak berkesudahan juga akan mengambil tempat di dada-dada akhbar apabila satu isu muncul, begitu begini percanggahan pendapat berlaku, masing-masing tidak mahu kalah ataupun sama sekali mengalah. Terkadang keduanya dirasakan betul tiada cela, pandai sungguh mereka bermain kata, sangat meyakinkan. Soalnya di sini, siapa yang menjadi mangsa? Tak lain dan tak bukan, golongan rakyat marhaen lah yang duduk terlopong terpinga mendengar hujah  dan ajaib kata sang pemimpin yang bertelagah. Bagai lalang, sekali mereka menyokong si A, kemudiannya si B membuat kenyataan akhbar blablabla…, beralih pula sokongan kepada si B. nasib baiklah dengannya adanya debat sebegini, rakyat boleh bersemuka secara langsung atau tidak (yang pergi ke gelanggang debat atau menonton melalui TV atau komputer) membuat penilaian kendiri tanpa dipengaruhi mana-mana media atau dimanipulasi sesiapa jua.
Dalam ketidaksabaran kita menunggu pengumuman pembubaran Parlimen yang seterusnya menandakan Pilihanraya ke-13 (PRU13), acara debat sebegini amat membantu seandainya dimanfaatkan seoptimum mungkin oleh kedua-dua belah pihak, kerajaan mahupun pembangkang. Saluran yang disediakan ini boleh memancing undi, itupun bergantung kepada kebijaksanaan wakil pendebat mengulas dan mengupas setiap inci dan pelusuk idea agar senang difahami serta diterima dan cukup memberi kepercayaan kepada mereka untuk memangkah parti politik masing-masing.