Sunday 8 July 2012

Lynas ‘mengganas’ di media !

Lynas ‘mengganas’ di  media !
Tidak semena-mena isu Lynas meniti di bibir-bibir seluruh kedai kopi,kafe pejabat, kantin, restoran, topic hangat dalam kalangan blogger tegar atau suam-suam kuku, tersebar melalui rangkaian sosial Facebook,  menjadi trend topic di twitter, di mana sahaja, Lynas disebut sebut. Lynas? Apa itu?
Sedikit penyelidikan (Mungkin istilah ini terlalu ilmiah nadanya) atau pun apa yang kita panggil pemerhatian melalui pembacaan akhbar harian dan melalui carian di  enjin gelintar Google, bercampur baur bagai rojak sebennarnya persepsi masyarakat kita tentang hal ini. Ini akan kita ulas rinci ke rinci sebentar lagi.
Tak kenal maka tak cinta. Sebelum panjang lebar kita berhujah berbicara, mari kita berkenalan dengan Lynas (disebut lai nas). Lynas Malaysia Sendirian Berhad merupakan sebuah syarikat yang beribu pejabat di Australia yang bertanggungjawab memproses satu bahan kimia yang dinamakan nadir bumi (atau juga disebut rare earth). Apa pula nadir bumi itu?
Nadir bumi atau rare earth adalah logam yang diklasifikasikan sebagai strategik. China kini hampir mencapai monopoli penuh terhadap nadir bumi di peringkat global. Sekarang ini, negara China membekalkan sehingga 97% permintaan dunia untuk nadir bumi yang diproses untuk kegunaan industri.  Dengan menggunakan nadir bumi inilah impian kita untuk memiliki gajet teknologi canggih, ringan dan efisien seperti komponen-komponen telefon bimbit, tablet iPad serta laptop terlaksana.
Di negara ini, Lynas akan mendirikan kilangnya di Gebeng,Pahang terletak secara relatifnya lima minit di utara Kuantan. Menurut Lynas menerusi laman sesawangnya, www.lynasandmalaysia.com, Gebeng dipilih kerana beberapa sebab yang tertentu. Antaranya  adalah kerana tempat itu telah direka sebagai sebuah kawasan perindustrian dengan akses yang lengkap terhadap  kemudahan pelabuhan,bahan kimia bergred tinggi serta tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman.
Kilang yang dibina nanti dicanang yang terbesar di dunia dan merupakan salah satu daripada dua kilang yang yang dibangunkan untuk menumbangkan monopoli penuh China terhadap nadir bumi. Sebuah lagi kilang yang sama dibangunkan di gurun California berhampiran Death Valley. Faedah terbesar China selain mengeksport bahan berkenaan, ialah membawa masuk syarikat-syarikat besar dunia untuk melabur berhampiran dengan lombong bahan berkenaan di negara itu.
Walaubagaimanapun,  tidak semudah itu untuk kita mendapat durian runtuh yang dianggarkan mampu memberi pulangan RM 8 billion setahun yang meningkat dari tahun ke tahun. Pihak pembangkang telah menyuarakan kebimbangan mereka akan keselamatan kiang ini terhada[ masyarakat sekitar Gebeng khususnya serta , Malaysia amnya. Ini memang berasas kerana mengikut sejarah:
1.       Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.
2.       Kesan toksik dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap langkah pemprosesan nadir bumi yang bermula dari perlombongan bijih ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan bijih, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.
3.       Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan pemprosesan nadir bumi berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.
Bukankah semua insiden yang diterangkan di atas terlalu ‘mahal’ harganya jika dibandingkan dengan keuntungan yang RM 8 billion setahun itu. Apa guna duit berkepuk andai anak-anak kita terpaksa menanggung natijah angkara buasnya nafsu kita terhasap wang ringgit. Percuma sahaja mereka dilahirkan cacat anggota badan, tubuh kerdil mereka dihuni bahan radioaktif yang menyeksa diri mereka dari menjalani hidup riang seperti anak-anak yang lain? Sanggupkah kita melihat derita mereka kononnya untuk kepentingan ekonomi kita sendiri?
Itu tidak termasuk lagi dengan ‘keuntungan’ kita yang terlali bermurah hati memberi pengecualian cukai bukan setahun dua kan tetapi melewati satu dekad, atau lenih tepat 12 tahun! Pemurahnya hati kita! Budiman benar hati nurani kerajaan melayani syarikat asing yang dating bertandang ke bumi bertuah ini.
Carian saya turut dibuat di laman perkongsian video popular , Youtube, dan para pembaca boleh sama-sam menilai sendiri apa yang sebenarnya yang berlaku. Tonton dan nilai dari isu ini dari kaca mata sendiri,saya selitkan video ini dari perspektif rakyat Australia itu sendiri. Boleh anda tonton video itu di pautan ini 
Memang baik katanya Lynas ini dibuka di Malaysia,tapi terimbas pula kata-kata emak saudara penulis di kampong (Maafkan saya jika jijik benar bunyinya) “Orang, kalau berak tepi jalan, siapa nak mengaku?”

No comments:

Post a Comment